Bukit Mertajam, 25 Jan- Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan dua kumpulan di sebuah Pusat Hiburan Keluarga di Flat Limau Manis, Bukit Tengah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, dua lelaki yang merupakan pelanggan pusat hiburan tersebut bermain mesin permainan di situ yang dijaga dua lelaki.
"Ketika dua lelaki itu sedang bermain, penjaga di premis berkenaan ternampak seorang daripada mereka melakukan sesuatu ke atas mesin permainan dan dia menegur kelakuan pelanggan terbabit.
"Berlaku pertengkaran sehingga bergaduh antara dua lelaki yang merupakan pelanggan itu dengan dua penjaga kedai dan seorang lagi lelaki iaitu kawan kepada penjaga premis itu," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata pergaduhan antara mereka berlarutan sehingga ke luar pusat hiburan berkenaan, sebelum ia disedari oleh orang ramai yang kemudiannya menghubungi polis.
Rusli berkata polis yang tiba di lokasi kejadian berjaya meleraikan pergaduhan itu dan menahan lima lelaki berkenaan.
Katanya pergaduhan itu menyebabkan empat daripada mereka mengalami kecederaan dan beberapa mesin permainan di situ turut dirosakkan.
"Semua mereka yang berusia 21 hingga 52 tahun kini direman sehingga Selasa bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau turut meminta kerjasama saksi kejadian atau sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu agar tampil di mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.- BERNAMA