Menu

POLIS BERJAYA GAGALKAN ENAM RANCANGAN SERANGAN PENGGANAS

Kuala Lumpur, 25 Jan- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menggagalkan enam rancangan serangan pengganas yang cuba mencetuskan huru-hara di dalam negara ini sejak Disember lepas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kejayaan polis membongkar rancangan tersebut menerusi beberapa siri operasi pasukan memburu kumpulan pengganas di dalam negara.

Tangkapan beberapa individu sejak Disember lepas mendapati terdapat kumpulan pengganas di negara telah memulakan pelaksanaan mengumpul bahan kimia yang boleh dijadikan bom, katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Deradikalisasi dan Memerangi Ekstremisme Keganasan, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, ditanya mengenai video ugutan oleh kumpulan militan Daesh "Mesej Awam Kepada Malaysia", Ayob berkata dua lelaki di dalam video itu telah disahkan sebagai rakyat Malaysia, dan kini berada di Syria.

Beliau berkata polis sedang mengumpul bukti untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, kedua-duanya yang dikenali dengan nama Abdul Halid dan Mohd Nizam mengugut agar polis tidak lagi membuat tangkapan dan membebaskan tahanan Daesh yang telah ditangkap.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan unit IS bagi Malaysia-Indonesia dikenali Katibah Nusantara, memberi amaran: "Kami tidak akan tunduk kepada sistem pentadbiran demokratik kerana kami hanya akan mengikut peraturan Allah.”

Ayob berkata ini kali pertama video seumpamanya dikeluarkan menggunakan bahasa Melayu, dan menggunakan logo Daesh, membuktikan bahawa kumpulan militan di Malaysia dan rantau Asia Tenggara telah bergabung dan mempunyai hubungan secara langsung dengan Daesh.

"Memang dah ada hubungan, malah yang kita (polis) tangkap yang lapan orang sebelum ini memang ada hubungan dengan rakyat kita kat sana (Syria)...ada hubungan dengan Bahrum Naim (pengasas kumpulan Katibah Nusantara),

"Memang ada, ini bukan benda baharu, sejak Jemaah Islamiyah (JI) dulu memang ada jaringan dia antara rantau dan global, nak kata terancang, ini memang cara mereka luaskan jaringan," katanya. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS