Menu

DADAH BERNILAI HAMPIR SETENGAH JUTA DILUPUSKAN


Seremban, 25 Feb - Dadah pelbagai jenis bernilai RM432,470 dilupuskan dalam operasi pelupusan barang kes dadah di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Muhamad Zaki Harun berkata dadah yang dilupuskan itu merupakan barang rampasan kes dari tahun 2007 hingga 2015 yang kesnya telah selesai di mahkamah.

"Jumlah keseluruhan adalah 639 item dan dadah yang dilupuskan ialah heroin, ganja, syabu, ketamin, ekstasi dan ubat batuk.

"Dadah jenis ketamin mencatatkan jumlah rampasan paling banyak iaitu 4,019 gram bernilai RM40,190. Manakala syabu mencatatkan nilai tertinggi, RM235,100 dengan berat 235.1 gram," katanya.

Muhamad Zaki berkata ini merupakan operasi pelupusan pertama untuk tahun ini bagi memastikan stor penyimpanan barang kes akan lebih teratur.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS