Menu

PEMANDU TEKSI BERDEPAN DETIK CEMAS DISAMUN DUA LELAKI


Kuala Lumpur, 25 Feb - Seorang pemandu teksi berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki di Jalan Jambu Mawar, Sentul di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy berkata dalam kejadian 6 petang itu, mangsa yang berusia 56 tahun memberhentikan motosikalnya di tepi jalan sebelum didatangi dua suspek yang menaiki sebuah motosikal.

Beliau berkata seorang suspek bertindak mengacukan pisau dan menarik beg sandang mangsa sebelum mereka melarikan diri.
"Mangsa kerugian wang tunai kira-kira RM300 dan sebuah telefon bimbit," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek masih diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

Dalam kes berasingan, seorang pemandu lori ditahan kerana memiliki dadah disyaki syabu dan sebilah parang di Jalan Kuching, di sini, semalam.

Munusamy berkata dalam kejadian 5.40 pagi itu, suspek yang berusia 23 tahun memberhentikan lori di bahu jalan.

"Anggota Unit Rondaan Bermotor yang sedang membuat rondaan membuat pemeriksaan terhadap suspek dan lori serta menjumpai dadah dan sebilah parang yang diletakkan di bawah tempat duduk pemandu," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan, Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS