Menu

POLIS JOHOR SENTIASA PANTAU, WASPADA KEGIATAN PENGGANAS DAESH


Johor Bahru, 25 Feb - Polis Johor sentiasa memantau dan mengambil langkah berwaspada sepanjang masa bagi membendung kegiatan pengganas termasuk ancaman kumpulan militan Daesh.

Ketua Cawangan Khas Johor, Dato’ Ramli Hassan berkata walaupun tahap keselamatan di negeri ini masih lagi terkawal, namun, pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga.

"Setakat ini kita tidak menerima sebarang maklumat berhubung ancaman yang boleh menggugat ketenteraman awam di negeri ini. Kita sepanjang masa berwaspada dan Johor masih terkawal dengan isu-isu sebegini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas penahanan empat warga Indonesia di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura baru-baru ini ketika dalam perjalanan ke republik itu melalui negeri ini.

Menurut laporan sebuah akhbar Singapura baru-baru ini, keempat-empat mereka termasuk seorang remaja berumur 15 tahun dihantar pulang ke negara asal selepas dipercayai dalam perjalanan ke Timur Tengah untuk menyertai kumpulan militant Daesh.

Bagaimanapun, Ramli enggan mengulas lanjut berhubung kes itu kerana menurutnya sebarang kenyataan mengenai kumpulan militan Daesh hanya dikeluarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS