PEMANDU LORI REMPUH 11 KENDERAAN DITAHAN
Shah Alam, 22 Mac 2016 - Pemandu lori yang merempuh 11 kenderaan dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Persiaran Mokhtar Dahari di sini, semalam, ditahan polis kira-kira tiga jam selepas kejadian.
Ketua Polis Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata lelaki berusia 54 tahun itu ditahan selepas kembali semula ke lokasi kejadian.
"Siasatan menunjukkan lelaki itu mempunyai rekod saman lampau membabitkan kesalahan langgar lampu merah dan muatan tidak kemas," katanya dalam kenyatan
hari ini.
Shafien berkata setakat ini pihaknya telah menerima 13 laporan polis yang dibuat pemilik kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu.
Katanya lori seberat 10 tan itu juga telah dihantar ke Puspakom untuk pengesahan kerosakan brek seperti yang didakwa pemandu lori berkenaan.
Dalam insiden kira-kira 1 tengah hari semalam, lori yang membawa muatan pasir itu hilang kawalan sebelum merempuh 11 kenderaan di hadapannya.
Kejadian itu turut menyebabkan sebuah treler dan kereta yang datang dari arah bertentangan terbabas ketika cuba mengelak lori berkenaan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun kerana terlibat melakukan samun ke atas pasangan suami isteri dan melarikan sebuah kereta jenis Perodua Axia, Sabtu lepas.
Shafien berkata kenderaan yang disewa pasangan suami isteri berusia lingkungan 30-an itu dilarikan suspek bersama seorang lagi rakannya ketika kenderaan berkenaan diletakkan di tepi jalan di Dataran Shah Alam di sini kira-kira pukul 6.20 pagi.
Beliau berkata polis bagaimanapun berjaya mengesan kereta itu di kawasan Putra Perdana, Puchong kira-kira sejam selepas kenderaan tersebut dilarikan.
"Suspek kini direman sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan rakannya masih diteruskan," katanya.-BERNAMA