Menu

PROGRAM SISTEM PENCEGAHAN DAN PEMANTAUAN TINGKAH LAKU PELAJAR AKAN DIPERLUAS

Melaka, 8 April- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperluaskan program Sistem Pencegahan dan Pemantauan Tingkah Laku Pelajar (SPPTP) di 10,000 sekolah seluruh negara dalam masa terdekat bagi mengurangkan masalah tingkah laku negatif pelajar pada masa hadapan.

Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Komuniti Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) PDRM Datuk Rohana Ahmad berkata program itu akan diperluaskan di 7,000 sekolah rendah dan 3,000 sekolah menengah seluruh negara secara berperingkat dengan memberi penekanan terhadap salah laku pelajar antaranya buli, merokok, kecurian, vandalisme dan ponteng sekolah.

Beliau berkata setakat ini program SPPTP berkenaan telah dilancarkan di 12 sekolah menengah di empat negeri iaitu Melaka, Terengganu, Pahang dan Perak sebagai perintis kepada program itu.

"Sebelum ini program SPPTP telah dilaksanakan di 14 sekolah menengah di Kedah sejak 2013 dan berjaya mengurangkan kira-kira 90 peratus kes kesalahan pelajar dalam tempoh enam bulan.

"Kejayaan ini mendorong PDRM untuk melaksanakannya di tiga sekolah di setiap empat negeri yang terpilih sebelum diperluaskan ke negeri lain secara berperingkat," katanya selepas merasmikan pelancaran program SPPTP di Sekolah Menengah Kebangsaan Jasin di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua JPJKK PDRM ACP Zulkifli Che Wail, Ketua Polis Daerah Jasin DSP Sampornak Ismail dan Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Melaka Husin Chik.

Mengulas lanjut, Rohana berkata berkenaan program berkenaan memberikan fokus terhadap kemahiran 'kemahiran insaniah' pelajar dan kaunseling kepada pelajar bermasalah yang dikenal pasti pihak sekolah.

Beliau berkata melalui program berkenaan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) juga ditambah baik selain kerjasama bersama pihak sekolah ditingkatkan dalam membantu pengurangan salah laku pelajar.

"Setiap PPS yang dilantik akan mengatur perjumpaan sebulan sekali dalam majlis anjuran sekolah bagi memberi ceramah dan kesedaran kepada kepada pelajar terlibat," katanya.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS