Menu

LIMA LELAKI DITAHAN BANTU SIASATAN KES GADUH DI KLUANG

Johor Baharu, 12 April 2016 - Lima lelaki ditahan polis semalam bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Kluang, Ahad lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata kelima lelaki itu, berusia antara 20 hingga 52 tahun, ditahan di sekitar daerah Kluang.

"Turut dirampas sebilah parang, dua batang besi, tiga batang rotan dan satu kayu besbol yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, lewat malam ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata kesemua mereka ditahan reman di bawah Seksyen
117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata pihak polis masih mengesan suspek-suspek lain yang masih
bebas.

"Punca pergaduhan kerana berlaku perselisihan faham antara pengunjung dan pekerja pusat hiburan tersebut sebelum ini," kata Wan Ahmad Najmuddin.

Pada kejadian pada pukul 3 pagi itu, dua pekerja pusat hiburan dan seorang pelanggan cedera parah selepas pusat hiburan itu dipercayai diserang lebih 20 orang bersenjatakan parang, pisau panjang dan rotan.

Ketiga-tiga mangsa bagaimanapun dalam keadaan stabil, kata Wan Ahmad Najmuddin.

Beliau turut memberi amaran agar pengusaha pusat hiburan berlesen agar mematuhi syarat lesen yang telah dikeluarkan dan tidak beroperasi lebih masa yang dibenarkan atau bersedia untuk diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang ada.  
- BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS