LIMA LAGI DITAHAN BANTU SIASATAN KES DUA PELAJAR DIPUKUL
Kuala Lumpur, 14 April 2016 - Polis menahan lima orang lagi suspek semalam untuk membantu siasatan berhubung kes dua pelajar sekolah menengah dipukul oleh sekumpulan pelajar di Jalan Wangsa Siaga, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohd Roy Suhaimi Shariff berkata mereka
ditahan di Gombak dan Ulu Klang dan berusia antara 15 hingga 17 tahun.
Beliau berkata dengan penahan lima lagi suspek, jumlah keseluruhan yang ditahan ini adalah seramai 27 orang.
"Bagaimanapun, 16 daripada suspek berkenaan sudah dibebaskan atas jaminan polis setelah diambil keterangan dan mendapati mereka tidak terlibat secara langsung dalam pergaduhan itu.
"Selain itu, polis akan memohon perintah mahkamah untuk melanjutkan tempoh tahanan reman bagi 11 orang suspek lain termasuk lima yang ditahan semalam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kepolisan Komuniti Ibu
Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju Sempena Peringatan Hari Polis ke-209, di Pusat
Jagaan Kanak-kanak Autisme Tasputra Perkim, di sini, hari ini.
Mohd Roy berkata motif sebenar pergaduhan masih dalam siasatan namun dipercayai berpunca dari perbalahan antara dua orang pelajar.
Dalam kejadian 2 petang Khamis lalu, kedua-dua pelajar berkenaan yang menaiki motosikal dalam perjalanan pulang dari sekolah telah dikejar beberapa kumpulan pelajar lain sebelum mereka dibelasah menggunakan kayu, topi keledar dan besi.
Akibat serangan itu, dua pelajar terbabit mengalami kecederaan di kepala dan mereka dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.
Seorang daripada pelajar tersebut menerima 10 jahitan di kepala, manakala seorang lagi tujuh jahitan.- BERNAMA