PUSAT HIBURAN DI PUCHONG DISERBU KALI KELIMA
Kuala Lumpur, 15 April 2016 - Sudah empat kali diserbu dan pernah juga didakwa di mahkamah, namun sebuah pusat hiburan di Bandar Puteri Puchong, Selangor masih lagi didapati beroperasi menggunakan pelanggan wanita warga asing tanpa permit.
Serbuan kali kelima dilakukan kira-kira pukul 11 malam tadi dan kali ini, pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Serdang menahan 22 pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam berusia antara 20 hingga 30 tahun yang tidak memiliki permit yang sah.
Ketua Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Serdang, ASP Roslin
Mohd Isa berkata pihaknya mula melakukan beberapa serbuan di premis terbabit
sejak Januari 2015.
"Seorang lelaki warga tempatan berusia lewat 30-an yang bertindak menjadi penjaga kaunter di pusat hiburan itu juga ditahan selepas dikenal pasti sebagai pengurus premis terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Roslin berkata, lelaki itu ditahan kerana disyaki menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah.
Beliau berkata kesemua yang ditangkap dibawa ke Ibu Pejabat Polis Serdang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas dan Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja asing tanpa permit yang sah, katanya. - BERNAMA