DUA PELAJAR ANTARA TIGA DITAHAN TERLIBAT KES CURI MOTOSIKAL
Kuala Lumpur, 6 Mei 2016 - Polis menahan tiga lelaki termasuk dua pelajar sekolah menengah dipercayai terlibat dalam kes kecurian motosikal di sekitar ibu negara, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohd Roy Suhaimi Shariff berkata kesemua
suspek yang berusia antara 15 dan 19 tahun itu ditahan dalam Op Cegah Jenayah yang dijalankan sepasukan anggota pasuka bertugas dan Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Wangsa Maju.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis Wangsa Maju menahan seorang pelajar dan seorang pekerja cuci kereta dalam keadaan mencurigakan di sebuah kedai cuci kereta di Wangsa Melawati, di sini pada 4.30 petang semalam.
"Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek yang tinggal di Taman Permata itu memberitahu seorang lagi rakan mereka telah menyerahkan motosikal yang dicuri kepadanya sebelum bertindak meleraikan motosikal berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Susulan itu, Mohd Roy berkata kira-kira dua jam kemudian pihaknya menahan seorang pelajar berusia 15 tahun di sebuah rumah di Wangsa Melawati, di sini dan merampas sebuah motosikal jenis Honda Wave.
"Hasil soal siasat ketiga-tiga suspek berkenaan, polis menemui beberapa kompenan motosikal berserta enjin dan rangka motosikal yang telah dileraikan di rumah berkenaan.
"Antaranya, rangka motosikal, enjin, 'absorber' dan penutup motosikal Honda EX5," katanya.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai mempunyai kes jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.- BERNAMA