POLIS TUMPASKAN SINDIKET PEMALSUAN PELBAGAI DOKUMEN DI SUBANG
Serdang, 13 Mei 2016 - Polis berjaya melumpuhkan sindiket pemalsuan dokumen termasuk kad pengenalan dan pasport selepas menahan tiga lelaki di sebuah pusat beli-belah di Subang, semalam.
Dalam operasi kira-kira 5 petang itu sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang telah menahan seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 24 hingga 63 tahun.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata
kumpulan itu aktif menjalankan kegiatan memalsukan dokumen antaranya kad pengenalan, lesen memandu, kad pemastautin tetap dan pasport pelbagai negara.
"Modus operandi kumpulan ini adalah dengan menyembunyikan kegiatan mereka di sebalik premis percetakan biasa di sebuah pusat beli-belah di Subang.
"Mereka menyasarkan warga asing dengan bayaran serendah RM2,500 hingga RM
5,000 mengikut jenis dokumen yang diperlukan pelanggan," katanya dalam sidang
media di IPD Serdang di sini, hari ini.
Megat Mohd Aminuddin berkata siasatan awal mendapati kumpulan itu telah
bergiat aktif sejak setahun lepas.
"Kami turut merampas beberapa peralatan dan dokumen yang dipalsukan antaranya 111 keping kad Pendaftaran Personel Binaan (CIDB), 18 keping kad pengenalan Malaysia dan 24 keping lesen memandu Malaysia.
"Beberapa unit mesin pencetak kad, satu unit acuan kulit depan pasport Bangladesh dan alat pemotong kertas yang dipercayai digunakan untuk kegiatan itu," katanya.
Beliau berkata kesemua suspek direman selama lima hari sehingga Selasa depan
untuk siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya di laman sosial Twitter semalam turut mengucapkan tahniah atas kejayaan tersebut.
"Syabas JSJK @PDRMsia Serdang Selangor, tangkap 3 orang di Summit, Subang
Jaya, rampas kad pengenalan dan pasport pelbagai negara dan peralatan. #GoPDRMGo," katanya.- BERNAMA