Kuala Lumpur, 7 Jun - Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh stor barangan kes polis dan gagal mengemukakan kad pengenalan diri.
Majistret Husna Dzulkifly menjatuhi hukuman itu ke atas Mohd Idres Nordin, 34, dan memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 2 Jun.
Husna menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bagi kesalahan menceroboh dan satu bulan bagi kesalahan tidak mempunyai kad pengenalan atau dokumen pengenalan sementara dan memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut pada 10.30 pagi di stor barang kes IPD Brickfields, Taman Fadason, Jinjang, Sentul pada 2 Jun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan menceroboh.
Bagi kesalahan gagal mengemukakan kad pengenalan atau dokumen pengenalan sementara, dia didakwa di bawah peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum tiga tahun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh bagaimanapun Mohd Idres yang tidak diwakili peguam memohon hukuman penjara yang minimum atas alasan dia datang dari keluarga susah serta menjaga bapa yang kurang upaya.- BERNAMA