Menu

JANGAN JUAL MERCUN


Kuala Terengganu, 13 Jun - Polis Terengganu memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak menjadikan bazar Ramadan dan premis kediaman sebagai tempat untuk menjual mercun.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Rosli Ab Rahman berkata pihaknya akan membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan pada musim perayaan ini.

Beliau berkata pihaknya juga tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan penjualan dan membiarkan anak-anak mereka bermain mercun.

"Selain pemantauan di bazar Ramadan, kita juga akan melakukan risikan berhubung kegiatan itu melibatkan beberapa lokasi tumpuan ramai seperti di pasar, premis dan rumah kediaman," katanya kepada Bernama.

Rosli berkata hanya dua jenis mercun dibenarkan dijual iaitu 'Happy Boom' dan 'Pop-pop' kerana kedua-duanya tidak berbahaya dan tidak mendatangkan kecederaan kepada pengguna.

Katanya, penjualan dua jenis mercun yang dibenarkan itu juga perlu mendapat permit polis dan jika gagal berbuat demikian, penjual boleh ditahan dan dihadapkan ke mahkamah.

Menurutnya jika didapati mengedar dan menjual mercun selain daripada dua jenis mercun yang dibenarkan itu, peniaga boleh dihukum mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Beliau berkata, polis memandang serius perkara itu kerana bermain mercun boleh mengakibatkan kecederaan kekal, selain menyumbang kepada bencana seperti kebakaran dan lain-lain.

"Saya ingin tegaskan dan memberi peringatan kepada masyarakat tentang bahaya bermain mercun. Ibu bapa dan penjaga diminta mengawasi anak masing-masing dan pastikan tiada kecelakaan berlaku.

"Larangan bermain serta menjual mercun masih berkuatkuasa dan jika kita dapat tangkap kanak-kanak bermain mercun yang berbahaya, tindakan akan dikenakan termasuk kepada penjaga," katanya.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS