Menu

KERETA DILARIKAN PENJENAYAH, DIGUNAKAN UNTUK DUA KES SAMUN DITEMUKAN


Kuching, 13 Jun - Sebuah kereta Nissan Almera yang dilarikan oleh empat lelaki tempatan dan digunakan untuk dua kes samun Jumaat lalu, ditemui ditinggalkan di kawasan letak kereta berhampiran sebuah hospital swasta di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC Dev Kumar M. M. Sree Shunmugam berkata, kereta berkenaan dikesan ditinggalkan pada Sabtu lalu, sehari selepas kumpulan penjenayah itu melakukan empat kegiatan samun dan mencuri kereta dalam tempoh kurang 24 jam di Kuching, Padawan dan Kota Samarahan.

"Pada 11 Jun, kereta tersebut dikesan ditinggalkan di kawasan letak kereta berkenaan. Polis bertindak menunggu dan melihat untuk menangkap jika ada mana-mana pihak datang mengambil kereta berkenaan.

"Namun setakat hari ini tiada apa-apa yang berlaku. Kira-kira 12 tengah hari tadi pasukan forensik sudah menjalankan siasatan bagi mengesan cap jari serta apa sahaja petunjuk untuk mengesan keempat-empat suspek itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Pada Jumaat, kumpulan penjenayah yang tidak bertopeng serta bersenjatakan pisau itu menjadikan wanita yang baru balik ke rumah sebagai sasaran.

Keempat-empat suspek bertindak melarikan sebuah Perodua Kancil di Jalan Kempas pada pukul 4 pagi, sebelum meninggalkan kereta berkenaan di Taman BDC dan melarikan sebuah lagi kereta jenis Nissan Almera pada pukul 10 pagi.

Pada 1.30 petang, kumpulan yang sama menggunakan Nissan Almera itu untuk menyamun seorang wanita di Taman Blossam, Padawan, sebelum menyamun seorang lagi mangsa di Taman APT, Kota Samarahan menggunakan ken­deraan sama.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS