POLIS KELANTAN LAKSANA ENAM KAEDAH KURANGKAN KEMALANGAN JALAN RAYA
Kuala Krai, 1 Julai - Polis Kelantan melaksanakan enam kaedah bagi mengurangkan kemalangan jalan raya dalam Ops Selamat 9/2016 sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata kaedah tersebut ialah rondaan pencegahan, pemantauan di setiap daerah, menubuhkan pasukan 'stop and talk'.
Kaedah lain ialah tindakan penguatkuasaan, bantuan kepada kenderaan rosak, dan mewujudkan pasukan tindak balas segera sebaik menerima maklumat kemalangan
daripada orang ramai.
"Kami telah mengenal pasti kawasan yang perlu diberi tumpuan semasa melaksanakan kaedah tersebut pada Ops Selamat kali ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Ops Selamat 9/2016 di Kilometer 75, Jalan Kota Baharu-Gua Musang di Pahi di sini, malam tadi.
Mazlan bekata dengan memberikan tumpuan di kawasan berisiko berlaku kemalangan, ia akan dapat membantu polis mengawasi kadar peningkatan kemalangan jalan raya di negeri ini.
"Kami mendapati pada Ops Selamat tahun lalu, jumlah kemalangan di Kelantan menunjukkan peningkatan sebanyak 8.89 peratus iaitu 1,589 kes berbanding 1,465 kes pada 2014," katanya.
Mazlan berharap orang ramai yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut
Aidilfitri memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas.
Sementara itu, beliau menasihati orang ramai supaya memaklumkan kepada polis
mereka tiada di rumah pada musim perayaan ini bagi membolehkan pemantauan
dilakukan.- BERNAMA