GENG HENG TUMPAS, POLIS RAMPAS BEG JENAMA TERKENAL
Kuala Lumpur, 15 Julai 2016 - Polis berjaya menahan tiga lelaki anggota kumpulan Geng Heng yang dipercayai melakukan aktiviti pecah rumah dan samun di sekitar ibu negara Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Sharul Othman Mansor berkata dengan
tertangkapnya ketiga-tiga lelaki berumur antara 35 dan 36 tahun itu, polis percaya telah menyelesaikan 12 kes berkaitan pecah rumah sejak awal tahun ini.
"Polis tutrut merampas pelbagai beg berjenama terkenal, komputer riba dan dua kereta iaitu jenis Volkswagen dan Toyota Camry yang digunakan oleh anggota kumpulan berkenaan bagi menjalankan aktiviti jenayah yang melibatkan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM400,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini hari ini.
Beliau berkata tangkapan itu berikutan aduan orang awam pada petang Ahad lalu berhubung satu kejadian pecah rumah di Taman Bukit Indah, Seri Petaling.
"Susulan itu, polis berjaya mengesan sebuah kereta jenis Volkswagen yang dinaiki dua lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan berhampiran lokasi kejadian pecah rumah berkenaan.
"Salah seorang lelaki berumur 36 tahun ditahan manakala seorang lagi rakan suspek yang memandu kereta berkenaan berjaya melarikan diri," katanya.
Beliau berkata hasil soal siasat ke atas suspek pertama yang bekerja sebagai pemandu itu membawa kepada penahanan seorang lagi rakan suspek berumur 36 tahun pada pukul 1.30 pagi pada keesokan hari berhampiran lokasi kejadian pecah rumah itu.
"Ketika ditahan, suspek kedua yang bekerja sebagai juru kimpal patah kaki kiri akibat terjatuh ke dalam longkang ketika cuba melarikan diri.
"Hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka masing-masing mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, curi dan samun," katanya.
Susulan itu, pada kira-kira pukul 4.30 petang hari yang sama, seorang lagi rakan suspek berumur 35 tahun ditahan di sebuah kondomium di Kepong dan polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Camry.
Sharul berkata hasil siasatan mendapati suspek ketiga yang tidak berkerja itu mempunyai 16 rekod jenayah lampau iaitu tiga kes dadah, 12 kes pecah rumah dan satu rekod buang daerah.
Katanya ketiga-tiga suspek direman selama lima hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata dua hari kemudian pihaknya menyerbu dua premis kedai di Berjaya Times Square dan satu lagi Jalan Ipoh kerana dipercayai menjual barangan curi hasil kegiatan pecah rumah itu oleh anggota kumpulan berkenaan.
"Sebanyak 16 buah beg jenama terkenal antaranya Gucci, Louis Vuitton, Channel dan 18 komputer telah dirampas di ketiga-tiga kedai berkenaan dan polis mengambil keterangan ketiga-tiga pemilik kedai berkenaan yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki," katanya.
Ketiga-tiga pemilik kedai berumur antara 35 dan 36 tahun kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap orang ramai yang yang menyimpan dan membeli barangan curi di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.- BERNAMA