Menu

LAPAN LELAKI TERMASUK LIMA WARGA THAI DITAHAN DIPERCAYAI MENGEDAR AIR KETUM

Alor Gajah, 17 Mei 2016 - Lapan lelaki termasuk lima warga Thailand ditahan dalam dua operasi berasingan kerana dipercayai terlibat dalam pengedaran air ketum di sekitar daerah Alor Gajah.  

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt A. Asmadi Abdul Aziz berkata tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 34 tahun yang berasal dari Manong, Perak.

Dia ditahan di sebuah rumah di Jalan Solok Duku, Masjid Tanah di sini kira-kira 10.30 malam pada Ahad lepas. 

Beliau berkata hasil pemeriksaan di rumah tersebut, pihaknya menjumpai 70 bungkus air ketum dengan setiap satunya seberat satu kilogram dan 15.4 kilogram daun ketum yang dibungkus dalam empat bungkusan guni.

 Satu plastik lutsinar dianggarkan bernilai RM1,160, katanya.

"Kita juga menjumpai beberapa peralatan termasuk periuk yang dipercayai digunakan untuk merebus daun ketum.

"Air ketum itu dijual di sekitar kawasan masjid Tanah dan Sungai Udang pada harga RM10 sebungkus. 

"Pada mulanya suspek menjual air ketum berkenaan secara kecil-kecilan sebelum bergiat dengan lebih aktif dalam tempoh setahun," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.  

Mengulas lanjut, beliau berkata saringan ujian urin ke atas lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan dan rekod lampau jenayah itu didapati negatif dadah. 

A. Asmadi berkata tangkapan kedua pula melibatkan tujuh pembantu kedai makan yang terdiri daripada lima lelaki warga Thailand berasal dari Narathiwat dan dua lelaki berasal dari Kelantan.

Mereka ditahan di sebuah rumah kedai di Jalan Taboh Naning Kampung Simpang Ampat kira-kira 9.40 pagi semalam. 

Beliau berkata kesemua lelaki berusia 18 hingga 55 tahun itu ditahan bersama 1.5 liter air ketum dan empat kilogram daun ketum bernilai kira-kira RM320 yang disimpan di premis berkenaan. 

Daun ketum itu dipercayai dijual di sekitar kawasan Simpang Ampat pada harga RM10 sebungkus, katanya. 

Beliau berkata, lima warga Thailand berkenaan mempunyai pasport dan semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. 

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Kesemua mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, katanya. - BERNAMA 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS