SYABU RM3 JUTA DIRAMPAS, ENAM TERMASUK WARGA TAIWAN DITAHAN
Kuala Lumpur, 21 Ogos 2016 - Sejumlah 42.5kg dadah disyaki syabu dianggarkan bernilai RM3 juta dirampas dan enam orang termasuk tiga warga Taiwan ditahan dalam lapan serbuan di sekitar Lembah Klang pada Jumaat sehingga pagi semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata operasi itu dikendalikan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING).
Beliau berkata selain warga Taiwan berkenaan, turut ditahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan. Kesemua mereka berusia antara 24 dan 52 tahun.
"Satu daripada empat bilik hotel yang diserbu di Bukit Bintang dipercayai digunakan untuk menyembunyikan dadah berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Mokhtar berkata bekalan dadah itu dipercayai diperoleh dari sebuah negara luar dan dibawa masuk ke Malaysia melalui kapal dengan disorokkan dalam peralatan seperti radiator.
Dalam kes berlainan, beliau berkata polis semalam membongkar dua makmal dipercayai lokasi memproses dadah syabu dan heroin serta merampas 150kg bahan
terlarang itu yang dianggarkan bernilai RM600,000, dalam tujuh serbuan di sekitar Selangor.
Mohd Mokhtar berkata ia membawa kepada penahanan 14 lelaki berusia 17 hingga
40 tahun yang turut disyaki terlibat dalam kegiatan kongsi gelap Geng 24.
Polis juga menyita 13 kereta, dua lori, sebuah motosikal, wang tunai RM30,430 dan barang kemas, dengan anggaran nilai sitaan RM1 juta.
Kesemua yang ditahan direman lima hari sehingga 25 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA