EMPAT INDIVIDU DITAHAN DI BAWAH POCA
Port Dickson, 22 Ogos 2016 - Empat individu ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) kerana terlibat dengan kegiatan kongsi gelap dan kekerasan di daerah ini.
Ketua Polis daerah Supt Adzli Abu Shah berkata kesemua individu yang berusia
dalam lingkungan awal 20-an hingga 35 tahun itu, ditahan bulan ini secara berperingkat hasil risikan pihak polis sejak April lepas.
"Daripada empat orang ini, seorang merupakan ahli geng kongsi gelap yang dipercayai terlibat dalam 10 kes samun bersiri dan ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959.
"Tiga yang lain pula adalah dari geng kongsi gelap yang terlibat dengan jenayah pemerasan, kekerasan dan macam-macam lagi," katanya kepada media di sini hari ini.
Sementara itu, dalam Ops Cantas 2 yang dijalankan bermula 5 Ogos hingga semalam, Adzli berkata seramai 1,960 individu dan 1,065 kenderaan diperiksa.
"Daripada jumlah tersebut, 21 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dan 32 individu lagi ditahan kerana dipercayai terlibat dengan geng kongsi gelap berdasarkan tatu yang terdapat di badan mereka.
"Seramai 18 orang daripada 32 yang ditahan, mengaku terlibat dengan geng kongsi gelap dan hanya seorang sahaja yang dapat didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 52 (3) Akta Pertubuhan 1966, berdasarkan bukti yang lengkap," katanya.
Adzli berkata sepanjang Ops Cantas 2 itu, polis turut merampas sebilah pedang samurai dan sebuah kereta Proton Wira.- BERNAMA