SEORANG LAGI SUSPEK KES BUANG BAYI DI CHERAS DITAHAN
Kuala Lumpur, 24 Ogos 2016 - Seorang wanita ditahan berhubung kes penemuan bayi perempuan di hadapan sebuah apartmen di Jalan Jelawat 2, Cheras, di sini, Isnin lepas.
Wanita itu adalah suspek kedua dalam kes tersebut yang ditahan selepas seorang lelaki berumur 25 tahun diberkas semalam kerana dipercayai terlibat dalam kes sama.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Chong Kok Sin berkata wanita berusia 24 tahun itu ditahan di Balai Polis Cheras pada pukul 10.30 malam tadi.
"Kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan kes itu dan direman hari ini sehingga Jumaat.
"Setakat ini, siasatan polis mendapati suspek lelaki berkenaan merupakan penduduk apartmen itu," katanya kepada Bernama.
Semalam, penghuni tingkat 12 sebuah apartmen di Jalan Jelawat 2, Cheras gempar apabila seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemukan terbaring di atas lantai di hadapan satu unit apartmen di situ.- BERNAMA