Menu

PENGANGGUR DITAHAN BERSAMA PIL KUDA BERNILAI RM20,000

Hulu Terengganu, 29 Ogos 2016 - Seorang penganggur diberkas bersama sejumlah pil kuda bernilai kira-kira RM20,000 dalam serbuan di Kampung Payang Kayu, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu ASP Mohd Haki Hasbullah berkata pemuda berusia 23 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi selepas cuba melarikan diri daripada pihak polis.

"Namun dengan kepantasan pihak polis, pemuda berkenaan berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan lanjut kita menemui lima paket plastik berwarna biru yang mengandungi 1,000 biji pil kuda yang disorokkan di dalam sebuah plastik.

"Ketika ditahan suspek ditemui sedang memegang plastik yang mengandungi pil kuda dan kita percaya suspek ingin melarikan diri," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya suspek dipercayai mula bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran pil kuda sejak awal bulan lalu dan disyaki memperoleh bekalan tersebut dari negara jiran untuk edaran di sekitar Hulu Terengganu.

Mohd Haki berkata suspek kini ditahan reman hingga 4 Sept untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS