Menu

ACP MOHD NAZRI 'PENEROKA' PERTAMA IPD ARAU

Boleh dikatakan dua pertiga daripada 31 tahun usia perkhidmatan Asisten Komisioner Mohd. Nadzri Hussain dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dihabiskan dalam cawangan trafik. 

Anak kelahiran Sik, Kedah itu memberitahu, pelbagai pengalaman dan ilmu ditimba sehinggalah beliau diberi tanggungjawab sebagai Ketua Trafik Kuala Lumpur. Namun ujarnya, pengalaman menjadi 'peneroka' pertama Ibu Pejabat Polis Daerah Arau, Perlis pada 2010 untuk mentadbir tiga balai lain di kawasan berhampiran paling tidak dapat dilupakan.

"Bayangkan sebagai Ketua Polis Daerah pertama, saya terpaksa bertugas seorang diri sebab IPD pun masih baru. Ketika itu Timbalan Ketua Polis Daerah, pegawai dan anggota lain masih belum ada.

"Jadi buat sementara waktu, pejabat saya terletak di Pondok Polis Pauh. Memanglah perasaan janggal itu ada, tapi bila pegawai dan anggota sudah ada, bangunan baru pun siap mudahlah kami bekerja," katanya.

Anak kedua dari lima adik beradik yang kini berusia 58 tahun berkata, beliau mula menyertai PDRM pada September 1984 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak sebelum ditugaskan ke Pasukan Polis Hutan (PPH) tahun 1985.

Ujarnya, karier beliau sebagai pegawai trafik bermula pada tahun 1995 apabila memegang jawatan Komander Lebuh Raya Tanjung Malim, Perak ke Jalan Duta selepas ditukarkan dari Unit Siasatan Tatatertib Zon Timur di Bukit Aman sebelum itu.

"Pada masa itulah saya turut diberikan tanggungjawab untuk menguruskan edisi pertama Le Tour de Langkawi pada 1996 yang mana kesemua idea-idea itu dikutip selama enam bulan menerusi penganjuran Tour de France dan La Vuelta di Sepanyol.

"Tahun 1998 juga adalah satu tempoh yang cukup mencabar apabila saya oertugas ke Kuala Lumpur ketika berlaku kegawatan politik. Pendek kata memang tidak ada cuti pada Sabtu dan Ahad, tetapi itulah tanggungjawab dalam pasukan," katanya.

Lulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu turut menceritakan betapa mencabarnya untuk mengatur gerak Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama ketika menghadiri sidang kemuncak ASEAN tahun lalu.

Menurutnya, beliau sendiri mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak keselamatan Amerika Syarikat bagi memastikan laluan Presiden mereka lancar tanpa sebarang halangan.

"Kalau boleh laluan yang diguna pakai oleh kenderaan Obama mestilah dikosongkan, kalau ada kereta rosak di situ mesti dialihkan kerana mereka bimbang ada sesuatu yang boleh mengancam keselamatan pemimpin kuasa besar itu.

"Sungguhpun begitu saya berbesar hati kerana pasukan kami diberikan pengiktirafan kerana menjalankan tugas dengan cemerlang, bahkan kami juga dijemput oleh pihak Kedutaan Amerika di sini untuk jamuan minum petang " kata peminat tegar pasukan bola sepak Liverpool itu. 

Sumber : Utusan Malaysia

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS