POLIS TAHAN TIGA LELAKI EDAR DADAH SEKITAR TEMERLOH
Temerloh, 22 Sept - Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Temerloh dan Kuala Krau dengan penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga emas, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood berkata kesemua
suspek berusia antara 35 dan 56 tahun itu ditahan pada 3.40 petang, dengan dua
daripadanya sedang leka membungkus dadah di sebuah pondok di Kampung Kuala Mai
di sini.
"Dua suspek ditahan di pondok sebuah rumah dan pemeriksaan di pondok itu menemukan 194.8 gram heroin dan 6.8 gram syabu dilantai pondok berkenaan yang
bernilai kira-kira RM16,000.
"Penahanan dua suspek itu membawa kepada penahanan seorang lagi suspek di
sebuah rumah berhampiran, dan menemukan 255.48 gram heroin bernilai RM17,000 dan
16.4 gram dadah jenis syabu bernilai RM2,000," katanya.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh hari ini, Zundin berkata polis turut merampas alat penimbang, beg galas, plastik pembungkus dan alatan menghisap dadah dalam serbuan itu.
Ujian air kencing mendapati kesemua suspek yang merupakan penduduk tempatan
positif dadah jenis morfin, katanya.
Zundin berkata suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada seorang
lelaki dari Kuantan dan polis sedang giat memburu lelaki terbabit.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. - BERNAMA