Menu

PROGRAM 1 AMAN WEEK – ‘POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA'

Putrajaya, 23 Sept 2016 – Bermula hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi luar di bawah payung Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) akan mengadakan Program 1 Aman Week bertemakan ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Selaras dengan objektif utama kewujudan NBOS, kolaborasi yang dibuat adalah bertujuan untuk mentransformasikan negara ke arah keamanan sekaligus meningkatkan indeks persepsi keselamatan di kalangan masyarakat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar hadir selaku tetamu kehormat merasmikan program yang akan diadakan sehingga 25 September ini.

Berucap dalam majlis tersebut, Tan Sri Dato’ Sri Khalid berkata program seumpama ini adalah peluang terbaik untuk mendekati dan memahami isi hati permasalahan masyarakat serta bersama mencari cara penyelesaian yang terbaik demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.

"Program seumpama ini diharapkan dapat merapatkan lagu hubungan silaturahim dan kesefahaman di antara polis dan masyarakat dalam memerangi jenayah sekaligus menangkis persepsi negatif masyarakat terhadap PDRM," ujar beliau.

Pelbagai pengisian aktiviti menarik telah disediakan oleh pihak penganjur seperti pameran eksklusif oleh PDRM termasuklah pameran aset-aset PDRM, gerai jualan pelbagai produk berjenama oleh peserta karnival jualan, cabutan bertuah, pertunjukan bunga api serta banyak lagi.

Lebih menarik, karnival ini turut mengajak para pengunjung untuk menyertai pelbagai aktiviti seperti Fun Bike Ride dan beberapa lagi program yang melibatkan unit-unit dalam PDRM.

Hadir sama dalam majlis perasmian 1 Aman Week pagi tadi adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Wan Ali Bin Besar, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Dato' Rusli Ahmad, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM, Dato’ Acryl Sani Haji Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, Dato’ Jalaluddin Abdul Rahman, Timbalan-timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai Kanan PDRM serta wakil-wakil media.

IMG_9307
Pelancaran disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar bersama imbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Wan Ali Bin Besar, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Dato' Rusli Ahmad.

IMG_9345
Penyampaian sijil penghargaan.

IMG_1024
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar menerangkan senjata lama yang dipamerkan kepada pengunjung.

IMG_0997
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar ketika melawat pameran.

IMG_1070
Gambar kenangan.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS