POLIS TAHAN SEORANG LELAKI, RAMPAS DADAH DI KUALA LUMPUR
Kuala Lumpur, 1 November 2016 - Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dikesan aktif mengedar dadah di sekitar ibu kota, setelah insiden mengejar kereta suspek, sejauh lebih 10 kilometer di sini hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata dalam kejadian
pada kira-kira 2.20 petang itu, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat
Polis Daerah Sentul mengesan sebuah Proton Perdana hitam di Batu 3 Jalan Ipoh,
yang dalam keadaan mencurigakan, sebelum meminta kedua-dua suspek berhenti untuk tujuan pemeriksaan.
Bagaimanapun, katanya dua suspek yang berada di dalam kereta berkenaan terus
memecut ke arah Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Sungai Buloh.
Berlaku insiden mengejar dan dalam usaha melepas kenderaan tersebut, anggota
polis telah melepaskan dua das tembakan amaran...kereta suspek telah melanggar
beberapa kenderaan awam di depan sebuah restoran, katanya dalam kenyataan di
sini.
Tembakan yang terkena pada tayar dan bahagian belakang kereta berkenaan,
menyebabkan suspek hilang kawalan dan seorang daripada mereka berjaya meloloskan
diri, katanya.
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menemui serbuk disyaki dadah, dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.
Tinjauan Bernama mendapati berlaku kesesakan kira-kira tiga kilometer dari
Bulatan Batu Caves hingga tempat kejadian di Kepong.
Polis kini giat memburu seorang lagi suspek yang masih bebas. Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata kes disiasat di bawah seksyen 353 Kanun Keseksaan dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA