Menu

SARANG DADAH DI BUKIT MALUT DIGEMPUR POLIS, 95 ORANG DITANGKAP

Langkawi, 3 November 2016 - Kawasan Bukit Malut di Langkawi terus digempur polis dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah, dan dalam satu operasi terbaharunya, 95 orang pengedar dan penagih berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Dr Che Ghazali Che Awang hari ini berkata
sembilan daripada yang ditangkap itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika
disabitkan kesalahan. 

"Sebanyak 105 gram heroin berjaya dirampas daripada mereka yang disyaki menjadi pengedar dalam operasi yang berlangsung selama empat hari itu," katanya pada sidang media di sini. 

Katanya seramai 70 orang pula diberkas kerana disyaki menagih dadah, 10 orang atas kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala masing-masing tiga orang di bawah Akta Racun 1952 dan ditahan kerana kesalahan imigresen. 

"Kesemua yang ditangkap itu berumur dalam lingkungan antara 18 dan 47 tahun dan ada dalam kalangan mereka yang pernah ditangkap sebelum ini kerana kesalahan dadah," katanya.

Che Ghazali berkata operasi itu turut berjaya memberkas seorang lelaki berumur 47 tahun kerana memiliki 18 liter cecair disyaki air ketum, 10kg daun ketum dan 600 botol ubat batuk. 

"Bahan ketum ini dipercayai dibuat untuk kegunaan sendiri dan edaran di kawasan sekitar Langkawi, dan siasatan sedang dibuat untuk mengenal pasti dari mana ubat batuk ini diperoleh," katanya. 

Menurutnya, lelaki itu disyaki mencampurkan air ketum dan ubat batuk dalam
minuman bergas dan menjualnya pada harga RM10 sebotol. 

"Kes ini disiasat di bawah Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda
sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali,"
katanya. - BERNAMA 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS