Menu

SISTEM NUR ALERT MELALUI FACEBOOK BANTU SELESAI KES KANAK-KANAK HILANG

Oleh : Kpl Edwind Indo
Penyunting : Siti Fatimah Abdul Manan

Kuala Lumpur, 4 November – Peratusan kes kanak-kanak hilang yang diselesaikan dengan pantas dan efisyen  di negara ini  dapat ditingkatkan menerusi kerjasama Facebook melalui Sistem Nur Alert yang dilancarkan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar dalam ucapan perasmiannya tadi berkata, Sistem ‘National Urgent Response’ (NUR Alert) akan menyalurkan maklumat kanak-kanak hilang ke dalam komuniti facebook ‘NUR Alert’ melalui suapan berita (News Feed) kepada pengetahuan orang ramai.

"Dengan 19 juta pengguna berdaftar Facebook di Malaysia, maklumat dapat disalurkan dengan cepat dan cara ini lebih efisyen untuk mengesan kanak-kanak hilang," katanya kepada pemberita.

Hebahan itu mengandungi maklumat mengenai kanak-kanak hilang antaranya gambar mangsa, huraian kejadian, lokasi kehilangan dan maklumat terperinci yang diperoleh daripada keluarga mangsa bagi membantu pencarian.

“Sejak penubuhan sistem ini, sebanyak 29 kes kehilangan telah dilaporkan yang mana 21 mangsa telah dijumpai manakala lapan kanak-kanak masih dilaporkan hilang”, ujar beliau mengakhiri ucapan perasmiannya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi), Dato’ Zainuddin Ahmad, Pembantu Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat (KPWKM), Puan Farahg Karina Hadenan, Pengarah Keselamatan United States, Emily Vacher, rakan media dan warga PDRM.

IMG_5113
Gimik pelancaran Sistem ‘National Urgent Response’ (NUR Alert) oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS