ROKOK SELUDUP BERNILAI RM 54,000 DIRAMPAS DI LPT2
Hulu Terengganu, 8 November 2016 - Sebanyak 9,000 kotak rokok yang dipercayai rokok seludup dirampas pihak polis daripada sebuah kereta yang ditinggalkan dua suspek di Kilometer 407 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Telemong, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata ketika melakukan rondaan di LPT 2 kira-kira pukul 9.15 malam pihaknya mengesan sebuah
kereta Proton Wira Aeroback yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
"Kedua-dua suspek terus memecut kenderaan mereka ke arah Telemong sebaik sahaja pihak polis mengampiri mereka di kawasan Rehat dan Rawat Ajil.
"Kita terus mengekori kereta suspek kira-kira enam kilometer sebelum kedua-dua mereka meninggalkan kereta itu akibat rosak dan terus melarikan diri," katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.
Menurutnya hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan terbabit pihaknya menemui 18 kotak besar mengandungi kira-kira 180,000 batang rokok yang dianggarkan bernilai RM 54,000.
Rokok jenama Saat itu dijumpai disorok di dalam bonet serta tempat duduk belakang dan polis tidak menolak kemungkinan rokok itu dibawa masuk dari Kuantan untuk diedarkan di Kelantan.
Mohd Adli berkata pihaknya kini sedang memburu kedua-dua suspek terbabit dan
hasil pemeriksaan ke atas kereta berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod dan
didaftarkan di Kuala Lumpur.
"Kita sedang mengesan kedua lelaki tersebut dan kesemua rampasan rokok ini
diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut,"katanya sambil menyatakan
rampasa itu adalaha yang terbesar di Hulu Terengganu tahun ini.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, seorang remaja lelaki diberkas bersama 500 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM 10,000, di Kampung Pengkalan Ajal, semalam.
Suspek berusia 18 tahun itu yang dipercayai aktif mengedar pil kuda di kawasan itu sejak enam bulan lalu ditahan di rumah keluarganya kira-kira pukul 11 pagi.
"Suspek kini ditahan reman sehingga 14 November ini untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," katanya. - BERNAMA