Menu

PENGAWAL KESELAMATAN DITAHAN BAWA PULANG SENJATA API

Melaka, 10 Mac 2017 - Seorang pengawal keselamatan sebuah kedai emas di daerah Melaka Tengah ditahan kerana membawa pulang sepucuk pistol dan 10 butir peluru di rumahnya di Jalan Semabok di sini, malam tadi.

Ketua Polis Melaka, Dato' Abd Jalil Hassan berkata lelaki berusia 26 tahun itu ditahan kira-kira 11 malam tadi kerana melanggar syarat lesen senjata api di bawah Seksyen 8(b) Akta Senjata Api 1960.

Katanya, senjata berkenaan tidak sepatutnya dibawa balik ke rumah dan mesti disimpan di dalam bilik kebal syarikat pengawal keselamatan.

Abd Jalil berkata, siasatan awal polis mendapati lelaki itu merupakan pengawal keselamatan di sebuah syarikat kawalan keselamatan berdaftar di Kuala Lumpur.

"Lelaki itu mendakwa beliau membawa balik pistol tersebut kerana jarak antara syarikat pengawal keselamatan dengan premis yang ditugaskan jauh," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di sini hari ini.

Katanya, tindakan lelaki tersebut boleh membahayakan keselamatan orang awam selain kesalahan tersebut juga boleh menyebabkan lesen senjata api yang dimiliki syarikat terbabit ditarik atau dibatalkan.

Abd Jalil berkata sembilan syarikat kawalan keselamatan direkodkan berdaftar di negeri ini dengan bilangan 179 laras senjata api dan 158 pengawal keselamatan.

Sehubungan itu beliau meminta agar semua syarikat tersebut menyediakan bilik kebal bagi menempatkan senjata api yang dilesenkan.

Dalam perkembangan lain, Abd Jalil berkata dua lelaki warga tempatan berusia 25 dan 32 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat dalam tiga kes samun bersenjata di sekitar Masjid Tanah di sini dalam tempoh satu jam bermula 11 pagi 5 Mac lepas.

Beliau berkata kedua-dua mereka ditahan di Batu Caves, Selangor, semalam kira-kira 6.30 petang dan polis merampas barang kes terdiri daripada telefon bimbit serta Ipad.

"Anggaran kerugian mangsa antara RM300 hingga RM1,500 dan ada antara mangsa mengalami kecederaan akibat dipukul dengan batang besi yang digunakan dalam kejadian samun berkenaan," katanya.

Katanya, suspek masing-masing memiliki tiga dan empat rekod jenayah lampau termasuk dadah dan samun, mereka kini direman hingga 16 Mac ini bagi membantu siasatan.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS