Menu

SINDIKET JUAL DVD CETAK ROMPAK TERBESAR DI TEMERLOH TUMPAS

Kuantan, 17 Mac 2017 - Polis menumpaskan sindiket menjual cakera padat digital (DVD) cetak rompak terbesar di Temerloh dekat sini, dengan penahanan tiga lelaki petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata kesemua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu ditahan dalam serbuan di sebuah premis di bandar Mentakab, Temerloh pada 2.30 petang.

Beliau berkata penahanan tersebut hasil risikan yang dilakukan lebih sebulan dan turut dirampas dalam serbuan itu ialah 657 keping DVD tanpa Sijil B dan 45 keping DVD lucah.

"Polis juga percaya, selain digunakan sebagai lokasi menjual DVD haram, kedai tiga tingkat itu juga dijadikan tempat untuk mencetak DVD cetak rompak dengan penemuan mesin pencetak DVD, mesin pencetak, pemain DVD dan dua televisyen.

"Turut dirampas ialah 133 keping kulit DVD pelbagai tajuk yang disyaki tidak mempunyai sijil perakuan B," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.

Supt Mohd Wazir berkata kesemua suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini, dan nilai keseluruhan rampasan berkenaan dianggarkan berjumlah lebih RM12,500.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 (Filem Lucah) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5 (2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 18(4)(a)Akta Penapisan Filem 2002 (menjual DVD tanpa Sijil B) yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 18 (5) akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM30,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS