Kota Kinabalu, 27 Mac 2017 - Bekas banduan yang pernah dipenjarakan 10 kali atas kesalahan jenayah dan dadah, adalah antara dua suspek ditahan kerana disyaki memecah masuk rumah seorang doktor di sebuah kondominium, dekat sini.
Suspek berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pengutip hutang itu bersama rakannya berumur 32 tahun, ditahan sepasukan anggota Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam serbuan di sebuah rumah di Sembulan di sini, kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.
Kedua-dua suspek disyaki memecah masuk rumah doktor lelaki berusia 33 tahun antara jam 7.20 pagi hingga 6.15 petang pada 22 Mac lalu ketika mangsa keluar bekerja.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata sebaik pulang ke rumah, mangsa terkejut apabila mendapati pintu terbuka dengan umpil serta keadaan dalam rumah berselerak.
"Selepas membuat pemeriksaan, mangsa mengesahkan kehilangan dua komputer riba dan sebuah telefon bimbit dengan anggaran kerugian RM4,000.
"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Tanjung Aru pada hari sama," katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini.
Chandra berkata, susulan laporan itu, polis menjalankan risikan dan siasatan lanjut sebelum menahan kedua-dua suspek serta merampas dua telefon bimbit dan satu komputer riba di sebuah rumah lain di taman sama berpandukan maklumat mereka.
Selain bekas banduan itu, katanya, seorang lagi suspek yang ditahan didapati memiliki lima rekod kesalahan iaitu empat berkaitan dadah serta satu berhubung kes samun dan pernah dipenjara lebih tiga tahun.
"Kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis syabu dan polis masih menyiasat jika mereka terbabit dalam jenayah lain.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
Sumber: Harian Metro