Menu

UTAMAKAN INTEGRITI – TIMBALAN KETUA POLIS NEGARA

Kuala Lumpur, 20 Mei 2017 – Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya pegawai-pegawai baharu diingatkan supaya mengutamakan integriti dalam setiap tanggungjawab yang dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim dalam ucapannya sempena Upacara Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Kadet Inspektor Siri 2/2016 yang diadakan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini, berkata tuntutan ini sejajar dengan realiti semasa di mana cabaran dihadapi PDRM menjadi semakin kompleks, lebih-lebih lagi berhadapan dengan masyarakat kini yang berpengetahuan dan peka tentang perundangan.

“Zaman sekarang memaksa pegawai polis untuk lebih teliti dan rasional dalam membuat sesuatu keputusan dan tindakan bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

“Tanggapan rakyat terhadap PDRM semakin tinggi dan seluruh warga PDRM hendaklah sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak masyarakat dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan ke arah profesionalisme,” ujar beliau.

Upacara Perbarisan Tamat Latihan kali ini menyaksikan seramai 604 orang Kadet Inspektor yang berjaya menamatkan latihan asas kepolisan selama sembilan bulan dan mereka akan melangkah ke alam pekerjaan sebenar sebaik sahaja ditempatkan di formasi masing-masing.

Majlis turut dihadiri Pengarah-pengarah PDRM, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur merangkap Pengerusi Jawatankuasa Upacara Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Kadet Inspektor Siri 2/2016, SAC Shamsudin Mat, pegawai-pegawai kanan PDRM serta rakan media.



_MG_5157
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim ketika pemeriksaan baris sempena Upacara Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Kadet Inspektor Siri 2/2016.

_MG_5270
Lintas hormat Upacara Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Kadet Inspektor Siri 2/2016.

_MG_5371
Lintas hormat Upacara Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Kadet Inspektor Siri 2/2016.

_MG_5562
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim menyampaikan Anugerah Terbaik Keseluruhan Latihan kepada Inspektor Razin Rezuan.

_MG_5614
Laungan Khidmat Sedia daripada Kadet Inspektor Siri 2/2016.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS