Sebanyak 1,200 iklan pinjaman wang tanpa lesen sekitar Ipoh diturunkan polis dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam 'Op Vulture' hari ini.
Operasi bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen (JSJK) Perak dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan dan Jabatan Pelesenan MBI.
Ketua JSJK Perak Superintendan Lee Ewe Kiang berkata, lokasi pembersihan iklan haram itu adalah di Jelapang, Meru, Ampang dan Tambun.
“Ini adalah operasi yang kita buat selepas menerima banyak laporan daripada mangsa yang terjerat sejak kebelakangan ini.
“Operasi pembersihan berlangsung dua jam, namun tiada tangkapan dibuat dan kita turunkan 350 iklan di sekitar Jelapang dan Meru manakala di Tambun dan Ampang Baru, 850 dirampas," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ipoh, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang Wang 1951.
Katanya, berdasarkan statistik tahun lalu, terdapat 194 kes disiasat dan 59 tangkapan berkaitan dengan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen dilakukan, manakala pada tahun ini mencatatkan 59 kes setakat ini dengan 21 tangkapan.
“Berdasarkan statistik itu tidak boleh dikatakan berlaku penurunan dalam kes ini memandangkan masih belum memasuki pertengahan tahun lagi.
“Aktiviti pinjaman tak berlesen ini sentiasa ada dan polis sentiasa menjalankan operasi secara berkala bersama pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.
Menurutnya, polis percaya masih ramai individu yang terbabit dengan kegiatan along yang masih belum ditangkap berikutan kekangan tertentu dari segi pengumpulan bahan bukti dan sikap peminjam yang malu untuk tampil membuat aduan.
Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen kerana akan menyusahkan mereka di kemudian hari apabila dikenakan kadar faedah yang tinggi termasuk ada yang sehingga mencecah 100 peratus.
Sumber: Harian Metro