JENAYAH KEKERASAN MENINGKAT DI KELANTAN
Kota Bharu, 24 Ogos 2017 – Jenayah kekerasan membabitkan samun, rogol dan bunuh di negeri ini mencatatkan peningkatan sebanyak 12.2 peratus dalam tempoh Januari tahun ini hingga sekarang berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Dato’ Hasanuddin Hassan berkata, peratusan peningkatan tersebut bersamaan dengan pertambahan 42 kes daripada 345 kes pada 2016 kepada 387 kes yang direkodkan dalam tempoh itu pada 2017.
Katanya, setakat tempoh hingga Ogos 2017, rekod bagi kes samun berkumpulan tanpa senjata berjumlah 45 kes, manakala samun bersenjata api pula sebanyak 42 kes dilaporkan bagi keseluruhan daerah di negeri ini.
“Bagi kategori rogol pula, kesnya meningkat dipercayai kerana ‘trend’ remaja yang terjebak dengan gejala seksual pada awal usia. Mereka pada asalnya suka sama suka, namun kerana bawah umur lelaki dituduh merogol.
“Jadi, saya nasihatkan kepada ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap aktiviti dan pergerakan anak mereka terutama yang perempuan. Dalam hal ini semua kena mainan peranan masing-masing,” katanya kepada pemberita, kelmarin.
Menurutnya, berbeza pula dengan rekod bagi kategori jenayah harta benda yang mencatatkan penurunan sebanyak 163 kes bersamaan dengan 6.4 peratus daripada 2,564 pada tahun 2016 kepada 2,401 kes tahun ini.
“Jumlah penurunan yang banyak ini sekali gus mengurangkan jumlah keseluruhan kes jenayah di Kelantan sebanyak 4.2 peratus pada tahun ini. Jumlah itu adalah penurunan sebanyak 121 iaitu 2,788 kes tahun ini berbanding 2,909 tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, rekod pengurangan keseluruhan indeks jenayah tersebut berkait rapat dengan tangkapan 10,642 individu yang terbabit dengan pelbagai kesalahan dadah oleh pasukan narkotik kontinjen itu.
“Kajian yang dilakukan mendapati jenayah paling banyak dilakukan oleh penagih dan pengedar dadah, dengan tangkapan mereka, gejala jenayah berkurangan.
“Tahniah kepada pasukan Narkotik atas sumbangan ini dan saya mengharapkan momentum ini dikekalkan dengan strategi dan perancangan yang lebih berkesan untuk membasmi gejala dadah,” katanya. – SINAR HARIAN ONLINE
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/kelantan/jenayah-samun-bunuh-meningkat-1.723704