TERIMA KASIH TAN SRI KHALID ABU BAKAR
Kuala Lumpur, 4 September 2017 – Kira-kira 3,000 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menghadiri Majlis Perbarisan Khas dan Paluan Berundur untuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar yang akan bersara wajib bermula 5 September 2017 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, petang tadi.
Beliau yang tiba pada jam 4.15 petang bersama isteri, Puan Sri Dato' Imran Ibrahim, diberi tabik 'Hormat Panglima' oleh Kawalan Kehormatan Utama yang turut membawa Panji-Panji Utama PDRM.
Detachment perbarisan pada petang ini diketuai oleh Pegawai Pemerintah Baris, Superintendan Mohd Farid Padzillah dan dibantu oleh Deputi Superintendan Polis (DSP) Mohd Zulfadli Zulkifli, manakala mengetuai pegawai pembawa panji-panji utama adalah Insp. Muhammad Shafik Ghazali serta 87 orang pegawai kanan dan 517 pegawai pegawai rendah polis yang melibatkan sepuluh detachment.
Tan Sri Khalid kemudiannya memeriksa perbarisan diikuti perbarisan berjalan lalu pelbagai detachment dan aset dalam PDRM.
Acara persembahan berakhir dengan penyampaian deklamasi sajak dan Tan Sri Khalid turut diberi penghormatan untuk memimpin kumpulan Pancaragam Pusat PDRM yang membawakan lagu ‘My Way’ iaitu salah sebuah lagu kegemaran beliau sendiri.
Tan Sri Khalid kemudiannya diarak menggunakan kenderaan istiadat PDRM dengan ditarik oleh para Pegawai Kanan bermula dari Astaka Dataran Kawad sehingga ke Balai Pengawal Utama PULAPOL KL sebelum beliau dan isteri menandatangani Buku Pelawat buat kali terakhir.
Menyingkap kembali sejarah perkhidmatan Tan Sri Khalid dalam pasukan, beliau telah menjawat beberapa jawatan penting seperti Ketua Polis Negeri Sembilan (2005), Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (2006), Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (2010) dan Timbalan Ketua Polis Negara (2011) sebelum menerajui PDRM sebagai Ketua Polis Negara yang kesepuluh pada 17 Mei 2013.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Dato’ Seri Mohamad Fuzi Harun, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah-pengarah PDRM, pegawai-pegawai kanan serta wakil-wakil media.



