PDRM PERKENAL TAMPUK PIMPINAN BAHARU TIGA JABATAN
Kuala Lumpur, 15 September 2017 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara rasminya telah memperkenalkan muka baharu Pengarah Cawangan Khas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam satu majlis serah terima tugas ketiga-tiga pengarah tersebut di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sebentar tadi.
Peralihan pucuk pimpinan ini menyaksikan Dato’ Sri Haji Mohd Mokhtar Haji Mohd Shariff yang akan mengisi kekosongan jawatan sebagai Pengarah Cawangan Khas bagi meneruskan perjuangan Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun yang telah dilantik menjadi Ketua Polis Negara baru-baru ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Mohmad Salleh akan melepaskan jawatannya sebagai Pengarah JSJ dan akan memikul tanggungjawab baharu sebagai Pengarah JSJN serta memberikan laluan kepada Dato’ Sri Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Johor sebagai Pengarah baharu JSJ.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dalam ucapannya sebentar tadi berkata, pengalaman luas serta _‘track record’_ ketiga-tiga pengarah baharu ini sudah pasti dapat memberi nafas baharu dan kekuatan dalam menggerakkan jentera pentadbiran jabatan masing-masing.
Pertukaran pengarah-pengarah jabatan pada petang ini secara langsung juga melibatkan pertukaran pengerusi-pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) jabatan di mana Datin Sri Hajah Bibi Zakiah Meraslam secara rasminya akan menerajui PERKEP Cawangan Khas menggantikan Puan Sri Datin Sri Azizah Hamdi yang telah dilantik sebagai Pengerusi PERKEP Malaysia.
Datin Seri Salasian Bidin pula akan mengambil alih tugas Pengerusi PERKEP JSJN yang ditinggalkan oleh Datin Sri Hajah Bibi Zakiah Meraslam manakala kekosongan jawatan Pengerusi PERKEP JSJ akan diisi oleh Datin Sri Musalma Mohd Saman.
Majlis pada petang ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dato’ Sri Haji Alwi Haji Ibrahim dan isteri, Datin Sri Roba’Aisyah Mohd Ghazali, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Azizah Hamdi, Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Datin Sri Shariza Saad @ Mansor, Pengarah-pengarah PDRM, Pesuruhjaya-pesuruhjaya, Ketua-ketua Polis Negeri, Timbalan-timbalan Pengarah, pegawai-pegawai kanan PDRM serta wakil-wakil media.

Bergambar kenangan.

Penyerahan Tongkat Kuasa di antara Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun kepada Dato’ Sri Haji Mohd Mokhtar Haji Mohd Shariff dalam sesi serah terima tugas Pengarah Cawangan khas.

Penyerahan Tongkat Kuasa di antara Dato’ Sri Haji Mohd Mokhtar Haji Mohd Shariff kepada Datuk Seri Mohmad Salleh dalam sesi serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Penyerahan tongat kuasa dia antara Datuk Seri Mohmad Salleh kepada Dato’ Sri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dalam sesi serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.
Bergambar kenangan.