Menu

PERKEMBANGAN KES BAKAR PUSAT TAHFIZ: KERTAS SIASATAN POLIS SUDAH DISERAHKAN KEPADA PEJABAT PEGUAM NEGARA

Kuala Terengganu, 25 Sept. 2017 - Kertas siasatan berhubung kejadian kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, Kuala Lumpur, sudah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara, pagi tadi, untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menunggu makluman balas daripada Pejabat Peguam Negara yang menentukan bentuk tindakan yang bakal dikenakan terhadap ketujuh-tujuh suspek terbabit.

"Kita sudah melengkapkan dan menghantar kertas siasatan berhubung kejadian kebakaran di pusat tahfiz terbabit kepada Pejabat Peguam Negara dan kita masih menunggu tindakan selanjutnya yang perlu diambil.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama khianat dengan api (Seksyen 435 Kanun Keseksaan)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.

Berdasarkan kertas siasatan itu, ketujuh-tujuh suspek berusia 11 hingga 18 tahun itu bakal berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala bagi Seksyen 435 Kanun Keseksaan mereka boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini dilaporkan berkata, semua suspek berusia 18 tahun bagi kes kebakaran pusat tahfiz terbabit tidak boleh dihukum mati jika sabit kesalahan berhubung kes berkenaan.

Ini berikutan hukuman itu bercanggah dengan Seksyen 97 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 menjelaskan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

"Bagaimanapun, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Yang Dipertua Negeri," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi 14 September lalu, 23 pelajar termasuk dua guru pusat tahfiz berkenaan terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga banglo yang menempatkan asrama pelajar.

Beberapa hari kemudian, polis menahan tujuh remaja selepas mereka dipercayai merancang dan membakar pusat tahfiz terbabit dengan menggunakan minyak petrol dan gas masak.

Sumber: Berita Harian Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS