51 ULAT PARKIR SEKITAR BANDARAYA JOHOR BERJAYA DITANGKAP
JOHOR BAHRU - Seramai 51 orang ulat parkir yang bergiat aktif memungut wang daripada pemilik kenderaan di sekitar bandar raya ini berjaya ditangkap dalam beberapa operasi yang dilakukan polis dalam membanteras kegiatan haram terbabit sepanjang dua bulan lalu.
Dalam sembilan operasi yang dilakukan sepanjang Ogos hingga September lalu terutamanya pada sebelah malam, kesemua ulat parkir yang ditangkap berusia antara 20 hingga 50 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, seramai 30 daripada suspek telah dihadapkan ke mahkamah dan dua daripada mereka dijatuhi hukuman penjara tiga bulan manakala selebihnya pula didenda RM1,000.
"Tangkapan dilakukan selepas polis menerima banyak aduan berhubung kegiatan ulat parkir tersebut di bandara raya ini terutamanya pada sebelah malam.
"Ulat-ulat parkir ini bergiat aktif bermula pukul 7 malam hingga awal pagi di kawasan tepi jalan di Jalan Wong Ah Fook, Jalan Ibrahim, Jalan Meldrum, sekitar Taman Sentosa, Jalan Trus, Jalan Dhoby dan Jalan Austin Height," katanya pada sidang akhbar sebentar tadi.
Menurut Dzulkhairi, kawasan terbabit menjadi operasi ulat parkir berikutan terdapat tempat makan, kedai beniaga dan pusat hiburan yang menjadi tumpuan orang ramai di bandar raya itu.
Justeru, tambahnya, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memberi wang kepada ulat parkir terbabit sebaliknya melaporkan kepada polis supaya usaha membanteras kegiatan itu dapat dijalankan. - K! ONLINE
Sumber : http://www.kosmo.com.my/negara/51-ulat-parkir-ditangkap-di-johor-bahru-1.562300#.Wh1r4KTQmSp.facebook