SINDIKET JUDI ATAS TALIAN TUMPAS
Klang, 28 November 2017 - Satu sindiket judi dalam talian yang beroperasi di sebuah rumah teres setingkat dekat Pelabuhan Klang, sejak dua minggu lalu tumpas selepas diserbu polis, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 6 petang itu, tiga lelaki warga Bangladesh berusia 20-an hingga 30-an yang bekerja sebagai penjaga rumah terbabit turut ditahan.
Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata susulan serbuan itu, pihaknya kini giat mengesan majikan tiga suspek berkenaan.
Katanya, bagi mengelakkan dikesan, sindiket terbabit hanya membenarkan pelanggan tetap dan dikenali sahaja untuk bermain judi dalam talian itu.
Beliau berkata, semua pelanggan juga diminta menunggu di sebuah stesen minyak berhampiran sebelum mereka dijemput ke rumah berkenaan.
"Suspek akan mengambil pelanggan menggunakan kereta dan hanya mereka yang dikenali sahaja akan dibenarkan untuk bermain judi di rumah itu.
"Sindiket ini mampu memperoleh pendapatan antara RM700 ke RM1,000 sehari," katanya kepada BH, di sini, hari ini.
Shamsul Amar berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas 10 set komputer, dua komputer kawalan kredit, satu unit modem, buku catitan urusniaga serta wang tunai.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1963 dan Perkara 39 (B) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
"Suspek serta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Pendamaran untuk tindakan lanjut," katanya.
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/11/356413/sindiket-sedia-khidmat-ambil-hantar-kaki-judi