Besut, 27 Disember 2017 - Sikap sebenar seorang remaja lelaki yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 terdedah selepas kehadiran sepasukan polis di rumah keluarganya di Kampung Amir, dekat sini, kelmarin.
Remaja berusia 17 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Balai Polis Kampung Raja di rumah kerana dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah guru di kampung sama.
Penahanan remaja terbabit ternyata mengejutkan ibu bapanya yang selama ini tidak menyangka anak mereka bersikap demikian.
Ketua Polis Daerah Besut, Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, polis berjaya memberkas suspek dalam tempoh 24 jam selepas laporan dibuat kerana dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah itu.
Menurutnya, dalam kejadian 1.30 petang Ahad lepas, mangsa seorang guru berusia 46 tahun dimaklumkan oleh anak lelakinya mengenai rumahnya seperti telah dipecah masuk.
“Mangsa kemudian mendapati kediamannya berselerak dan kehilangan beberapa barangan antaranya wang tunai kira-kira RM1,000, komponen motosikal tulen, kamera, rim tayar motor dan satu unit telefon pintar dengan nilai keseluruhan sekitar RM3,000,” katanya.
Mohd Zamri berkata, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Task Force Kampung Raja telah melancarkan Op Pintu telah pergi ke rumah suspek yang terletak berdekatan rumah mangsa.
Menurutnya, sebaik tiba di rumah itu polis mendapati seorang lelaki berada di ruang tamu rumah dan selepas memperkenalkan diri, polis telah memeriksa badan suspek namun tidak menjumpai sebarang barang yang salah.
“Polis kemudiannya menjalankan pemeriksaan di dalam bilik tidur suspek dan telah menjumpai beberapa barangan dipercayai dicuri dari rumah guru terbabit termasuk lampu suluh,” katanya.
Mohd Zamri berkata, seterusnya polis menahan suspek dan merampas semua barang kes tersebut untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mencuri barangan tersebut untuk tujuan dijual bagi mendapatkan wang.
Bagaimanapun kata Mohd Zamri, saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia ditahan reman untuk membantu siasatan manakala kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. – SINAR HARIAN ONLINE