Menu

SELUDUP SENJATA: POLIS KERJASAMA DENGAN PAKISTAN


Kuala Lumpur, 27 Disember 2017 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Pakistan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai kes penahanan seorang rakyat Malaysia selepas disyaki cuba menyeludup keluar senjata api di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi pada Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sti Noor Rashid Ibrahim berkata, PDRM akan berhubung dengan pihak Pakistan bagi mengetahui status dan kegiatan pemuda berusia 20 tahun itu di negara berkenaan.

"Mungkin dia terlibat dengan kegiatan ekstremis di sana seperti Daesh dan seumpamanya, sebab itu, kami masih menyiasat.

“Setakat ini, saya tidak dapat lagi maklumat lanjut mengenai kes itu tetapi yang jelasnya lelaki itu cuba hendak pulang ke Malaysia," katanya pada sidang berita selepas majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata PDRM juga akan menyiasat kemungkinan adanya individu lain atau rangkaian negara ini yang terlibat dengan kes itu.

Portal media antarabangsa melaporkan bahawa pemuda itu dijadualkan menaiki pesawat Thai Airways TG 342 yang menuju ke Bangkok, Thailand, sebelum dia ditahan di lapangan terbang berkenaan.

Suspek yang berasal dari Sarawak, dilaporkan cuba menyeludup keluar empat pistol, lapan kelopak serta 70 butir peluru yang disembunyikan di dalam bagasi dan tapak kasutnya.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS