Menu

POLIS BURU LELAKI INDONESIA SUSPEK KES BUNUH

Segamat, 24 Jan 2018 – Polis memburu seorang lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai Herwan, 36, kerana disyaki terlibat dengan kematian seorang lelaki warga tempatan kira-kira 3.26 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Raub Selamat berkata mangsa, Mohd Rezal Md Tab, 37, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap ditemui mati dengan kesan tikaman pada rusuk kiri, selain kecederaan pada lengan kiri di rumah sewa teman wanitanya di Jalan Temenggong, Kampung Batu Hampar, di sini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa dan teman wanitanya bertemu dengan lelaki warga Indonesia terbabit di rumah wanita berkenaan bagi membincangkan tindakan suspek yang didakwa mencabul anak angkat wanita itu yang berumur sembilan tahun kira-kira 5 petang, semalam.

“Namun demikian, pada pukul 2.30 pagi tadi, suspek telah datang semula ke rumah teman wanita mangsa dengan memanjat bumbung sebelum masuk melalui siling dapur," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Raub berkata setelah mangsa dan teman wanitanya terdengar bunyi bising di atas bumbung, mereka bangun untuk melakukan pemeriksaan namun, mendapati suspek telah berada di dalam rumah.

“Satu pergelutan telah berlaku di antara suspek serta wanita tersebut dan suspek telah bertindak menumbuk muka, menarik rambut dan menggigit dahi wanita tersebut.

"Mangsa yang cuba menyelamatkan teman wanitanya, telah ditikam menggunakan pisau di bahagian rusuk kiri dan lengan kirinya,” katanya.

Beliau berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek masih giat dilakukan dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 079312222. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS