Menu

35 TAHUN KEGEMILANGAN DALAM PASUKAN IRINGI PERSARAAN DATO' SRI ABD. RAHIM HAJI HANAFI


Kuala Lumpur, 30 Januari  2018 – Setelah hampir 35 tahun mengerah keringat mencurah bakti, maka pada hari ini tamatlah sebuah perkhidmatan yang panjang dalam dunia kepolisan, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman, CP Dato' Sri Abd. Rahim Haji Hanafi akhirnya meninggalkan bidang kepolisan yang telah sebati menjadi darah dagingnya itu pada 1 Februari 2018.

Sebagai tanda penghargaan di atas khidmat bakti beliau kepada PDRM selama ini, satu Majlis Paluan Berundur sempena persaraannya telah diadakan di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur melibatkan seluruh pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada pelbagai pangkat, khususnya dari JIPS – jabatan yang diterajui sehingga ke penghujung kerjaya beliau, petang tadi.

Lebih manis lagi, majlis pada hari ini turut dihadiri oleh ahli keluarga beliau dan juga Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun, barisan Pengarah PDRM dan isteri, Pegawai-pegawai Kanan PDRM serta rakan-rakan media.

Dato' Sri Abd. Rahim dilahirkan pada 1 Februari 1958 di Alor Setar, Kedah telah mendirikan rumah tangga bersama  Datin Sri Ramlah Mahmood dan dikurniakan lima orang cahaya mata.

Mengimbas kembali, susur galur sepanjang karier beliau dalam bidang kepolisan bermula sebagai Kadet Asisten Superintendan Polis (ASP) pada 27 Februari 1983, Dato' Sri Abd. Rahim amat dikenali sebagai seorang Pegawai Kanan yang tegas dan berdedikasi terhadap tugas serta bertanggungjawab dan sentiasa berpegang teguh pada prinsip dalam membuat sesuatu keputusan.

Beliau juga diberi kepercayaan untuk memegang jawatan-jawatan penting seperti Ketua Polis Daerah, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) dan menerajui kepimpinan tiga negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Perak. 

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini juga pernah menjadi ‘buah mulut’ di kalangan masyarakat negara ini apabila beliau merupakan pegawai polis pertama yang membaca Khutbah Jumaat pada 23 Mac 2007 di Masjid Mukim Langgar, Kota Bharu semasa memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan.

Kepimpinannya bukan hanya menyerlah dalam pasukan, namun sebagai seorang pemimpin keluarga yang berdedikasi, keperibadiannya telah berjaya diteladani oleh kelima-lima orang cahaya matanya. Didikan dan amalan untuk meraih kecemerlangan dalam pendidikan telah dipraktikkan terhadap mereka sehingga berjaya ke menara gading.

Komitmen dan kecemerlangan Dato’ Sri Abd. Rahim sepanjang tempoh menerajui JIPS, jelas terserlah menerusi pelbagai cetusan idea penganjuran program-program berbentuk keagamaan. 

Antara legasi peninggalan Dato’ Sri Abd. Rahim dalam memelihara hati serta rohani di kalangan warga PDRM, beliau berjaya mewujudkan Piala Pusingan Tilawah Al-Quran PDRM Peringkat Kebangsaan untuk memartabatkan kitab suci Islam dan ia dilihat dapat menarik lebih ramai warga PDRM untuk menyertai tilawah berkenaan.

Seluruh warga PDRM mengucapkan "Selamat Bersara" dan ucapan setinggi-tinggi terima kasih yang tidak terhingga di atas segala khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan di dalam PDRM.

Harapan dan doa kami semoga Dato' Sri diberi kesihatan yang berkekalan dan bahagia bersama keluarga tercinta. Tabik hormat buat Dato Sri'!

0S7A0077 copy
Sekitar ketibaan Dato' Sri Abd. Rahim Haji Hanafi diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun dan Pengarah Pengurusan, Dato' Sri Abdul Ghafar Rajab.

_MG_7489
Sekitar ketibaan Dato' Sri Abd. Rahim Haji Hanafi diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun dan Pengarah Pengurusan, Dato' Sri Abdul Ghafar Rajab.

0S7A0172 copy
Persembahan daripada Pancaragam Pusat PDRM.

_MG_7380
Persembahan daripada Pancaragam Pusat PDRM.

_MG_7388
Dato' Sri Abd. Rahim Haji Hanafi diberi penghormatan untuk memimpin Pancaragam Pusat PDRM.

_MG_7422
Dato' Sri Abd. Rahim Haji Hanafi menerima cenderahati daripada Pancaragam Pusat PDRM.

0S7A0425 copy
Dato' Sri Abd. Rahim Haji Hanafi diberi penghormatan menaiki kenderaan istiadat sebelum meninggalkan majlis.

_MG_7582
Dato' Sri Abd. Rahim Haji Hanafi diberi penghormatan menaiki kenderaan istiadat sebelum meninggalkan majlis.

0S7A0472 copy
Dato' Sri Abd. Rahim Haji Hanafi menandatangani Buku Pelawat PULAPOL Kuala Lumpur sebelum meninggalkan majlis.

0S7A0475 copy
Dato' Sri Abd. Rahim Haji Hanafi bergambar kenangan bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Kementerian Dalam Negeri), Dato' Wan Ali Besar.

0S7A0491 copy
Bergambar kenangan bersama Ketua Polis Negara dan Pengarah JSJK PDRM, CP Dato' Sri Amar Singh Ishar Singh.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS