Menu

TPM RASMI PANGKALAN BAHARU PGU

TPM RASMI PANGKALAN BAHARU PGU

Subang Jaya, 19 Mac 2018 - Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menyempurnakan upacara Perasmian Pangkalan Semenanjung Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz (LTSA), hari ini.

Perasmian pangkalan baharu ini adalah bertujuan memindahkan pusat operasi baharu PGU yang sebelumnya beroperasi di Pangkalan Udara Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dalam ucapannya berkata, pusat operasi baharu ini bukan sahaja menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih kondusif kepada warga PGU, bahkan berupaya mengatasi masalah pengoperasian penerbangan yang dihadapi sebelum ini kerana ketiadaan bantuan alatan navigasi yang membataskan penerbangan 24 jam.

Pusat operasi baharu ini adalah selari dengan aspirasi kerajaan dalam menyediakan fasiliti lebih luas serta moden di mana 350,000 kaki persegi ruang disediakan berbanding 300,000 kaki persegi di Sungai Besi merangkumi 17 buah bangunan baharu di atas tanah seluas 40 ekar dan mempunyai sambungan terus kepada landasan di LTSA untuk membolehkan operasi PGU berjalan 24 jam tanpa henti.

Selain itu, ianya juga dilengkapkan dengan pelbagai fasiliti dan kemudahan riadah untuk kegunaan warga PGU seperti padang bola sepak, futsal, dewan serbaguna dan lain-lain lagi.

Mengimbau kembali sejarah penubuhan PGU atau dikenali sebagai Unit Udara Polis pada 1 Februari 1979, unit ini hanya memiliki empat unit kapal terbang jenis Cessna 206 yang ditempatkan sementara di Hangar Wira Kris, Subang sebelum pusat pengoperasiannya – Pangkalan Semenanjung PGU dipindahkan ke Pengkalan Sungai Besi pada tahun 1998. Pada 1 Mac 2012, Unit Udara Polis telah dijenamakan semula sebagai Pasukan Gerakan udara (PGU) sehingga kini dan menyaksikan peningkatan kekuatan pegawai dan anggota PGU seiring dengan pertambahan aset-aset penerbangan seperti 20 buah kapal terbang (lima unit Pilatus Porter PC6, enam unit Cessna Caravan, empat unit Cessna SP172 dan 5 unit King Air) serta 11 buah helikopter (sembilan unit AS355 dan dua unit AW139).

Tambah Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi lagi, PGU juga akan menerima empat lagi helikopter AW139 yang mana akan diterima secara berperingkat bermula Mei tahun ini sehingga akhir tahun 2020.

Dalam pada itu, majlis pada hari ini turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri 2, Dato’ Masir Kujat, Ketua Setiausaha (KSU) Perbendaharaan merangkap Pengerusi Bandar Malaysia Sdn. Bhd., Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah, KSU Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Seri Alwi Haji Ibrahim, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dato’ Sri Zulkifli Abdullah, barisan Pengarah PDRM, pegawai-pegawai kanan PDRM serta wakil-wakil media.

_MG_2374
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika memeriksa barisan Kawalan Kehormatan.

_MG_2479
Ucapan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun pada Majlis Perasmian Pangkalan Semenanjung Pasukan Gerakan Udara PDRM.

_MG_2534
Ucapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Perasmian Pangkalan Semenanjung Pasukan Gerakan Udara PDRM.

_MG_2592
Bergambar kenangan.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS