PRU-14: PDRM SEDIA GALAS TUGAS DENGAN TEGAS DAN BERHEMAH
Cheras, 5 April 2018 - Selepas mempersiapkan warganya dengan beberapa siri kursus dan latih amal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini yakin dapat menggalas tugas untuk menjaga keamanan sepanjang tempoh pilihan raya dengan tegas dan berhemah mengikut lunas undang-undang negara.
Berucap merasmikan Majlis Penutupan Kursus Pengurusan Krisis Semasa PRU-14 di Maktab PDRM Kuala Lumpur sebentar tadi, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim yang mewakili Ketua Polis Negara berkata, PDRM telah merangka dan melaksanakan pelbagai persiapan termasuk mengadakan siri kursus dan latihan simulasi Ex-Undi Per PRU-14 yang ternyata menampakkan kesiapsiagaan pasukan berada pada tahap yang tertinggi.
"Melalui Kursus Pengurusan Krisis Semasa PRU-14 yang diadakan ini, para peserta diharap dapat memahami berkenaan mekanisma pengurusan dan pengendalian krisis mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara dan mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab Pasukan Tindakbalas Krisis dengan penuh yakin," ujar beliau.
Jelas Tan Sri Noor Rashid lagi, PDRM menerusi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM (KDNKA) telah menjalankan latihan simulasi PRU-14 yang melibatkan lima fasa utama iaitu Fasa Sebelum Pembubaran Parlimen, Fasa Pembubaran Parlimen, Fasa Penamaan Calon, Fasa Pembuangan Undi dan Fasa Pasca Pilihan Raya yang dilaksanakan secara serentak di semua 14 kontinjen dan melibatkan 144 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara sejak tahun lalu.
“Menerusi latihan ini, kesiapsiagaan pasukan telah diuji untuk berhadapan dengan situasi pilihan raya sebenar yang bertujuan melihat keberkesanan perancangan serta kesiapsiagaan PDRM ketika berhadapan dengan kemungkinan berlakunya situasi ancaman keselamatan dan ketenteraman awam," tambah beliau lagi.
Beliau turut berharap menerusi sesi latihan dan kursus yang telah dijalankan, ia berjaya mencapai matlamat dalam memberikan pendedahan kepada semua pegawai dan anggota polis selain memantapkan pengetahuan mereka berkenaan undang-undang, prosedur dan pengurusan pilihan raya seperti mana edisi-edisi pilihan raya umum sebelum ini.
Kemuncak majlis tadi menyaksikan seramai 45 Pegawai Kanan Polis telah menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Tan Sri Noor Rashid. Antara penerimanya adalah Ketua Polis Selangor, Dato' Pahlawan Mazlan Mansor, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, Ketua Polis Pahang, Dato' Sri Rosli Ab. Rahman, barisan Ketua Polis negeri, Komander Briged dan Ketua Polis Daerah.
Turut hadir di majlis hari ini ialah Pengarah Jabatan KDNKA selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dato' Sri Zulkifli Abdullah, Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, Dato’ Yong Lei Choo dan para pegawai kanan.

Ketibaan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim.

Bacaan doa.

Sekitar penyampaian sijil penghargaan kepada 45 pegawai kanan PDRM yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim.

Sekitar penyampaian sijil penghargaan kepada 45 pegawai kanan PDRM yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim.

Bergambar kenangan.