Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menghargai komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan yang sentiasa memberi keutamaan terhadap isu keselamatan di negeri ini, menerusi penyediaan peruntukan dan sokongan dalam pelbagai aspek berkaitan demi menjamin ketenteraman di timur Sabah.
Ini termasuk peruntukan RM250 juta dalam Bajet 2018 oleh kerajaan Pusat untuk mengukuhkan kawalan keselamatan di perairan, selain penambahan anggota di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), penyediaan aset dan kelengkapan keselamatan termasuk radar, kapal ronda serta aset udara di Lahad Datu.
Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, komitmen tinggi Perdana Menteri, Datuk Sen Najib Razak dengan sokongan penuh Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dalam aspek keselamatan membolehkan pelbagai langkah dilakukan pasukan keselamatan hingga terbukti tiada lagi kes penculikan sejak lebih setahun lalu.
Katanya, antara strategi ESSCOM untuk terus mengukuhkan keselamatan di timur Sabah ialah menerusi Ops Gasak dan Ops Bersepadu yang menjadi usaha serampang dua mata untuk menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI), sambil mengesan suspek penjenayah.
"Kedua-dua operasi itu diperkemas dan dipergiatkan sejak Januari tahun lalu bagi mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan di ESSZONE yang mana ia scbahagian aktiviti ESSCOM untuk mencapai visi menjaga dan mengekalkan ketenteraman serta keselamatan.
"Biarpun tiada lagi penculikan sehingga kini. Ops Gasak dan Ops Bersepadu akan terus dipertingkat dengan sasaran utama membasmi PATI dan kegiatan penyeludupan kerana ESSZONE masih terdedah kepada penjenayah rentas sempadan dari negara jiran," katanya.
Berdasarkan statistik, 504 Ops Bersepadu dilaksanakan ESSCOM sepanjang tahun lalu di ESSZONE yang merangkumi 10 daerah iaitu Lahad Datu, Tawau, Semporna, Sandakan, Kunak, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran dan Kinabatangan Dalam operasi itu, 1,538 ditangkap daripada 69,680 orang yang diperiksa.
Dalam perkembangan berkaitan, Hazani berkata, dua helikopter tempur jenis McDonnell Douglas (MD) yang bakal ditempatkan di Pangkalan Operasi Hadapan (POH) Helikopter Lahad Datu berupaya membantu meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan tempur pasukan keselamatan.
Katanya, aset itu yang dijangka diterima dalam waktu terdekat akan mempercepatkan tindakan pasukan keselamatan mengekang kemasukan penjenayah rentas sempadan.
"Kami memang ada aset udara yang ditempatkan di ESSZONE ketika ini, cuma jika ada helikopter tempur ini ia mempercepatkan tindakan mengekang penjenayah rentas sempadan termasuk pengganas apabila radar mengesan kemasukan mereka.
"Berdasarkan pengalaman, apabila berlaku cubaan masuk penjenayah rentas sempadan tahun lalu, penjenayah lari semula ke perairan negara jiran sebaik melihat helicopter, berlegar legar di kawasan perairan terbabit," katanya.
Sumber : Harian Metro