Menu

PROGRAM NBOS ANJURAN JSPT BUKIT AMAN


Kuala Pilah, 12 April 2018 - Seramai 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Muhammad menyertai program kempen keselamatan jalan raya dan pencegahan jenayah pelan tindakan inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman di sini.

Program berlangsung selama dua hari pada 4 April dan 5 April itu menyediakan ceramah keselamatan jalan raya dan taklimat penggunaan ‘tru cam’ iaitu alat tembak laju yang digunakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam penugasan penguatkuasaan dan pelbagai lagi.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Pkharuddin Ghazali berkata, pelaksanaan secara NBOS hubungan antara PDRM dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) sentiasa diperkasakan demi mengurangkan kadar jenayah berlaku dalam sekolah, selain keselamatan jalan raya melibatkan pelajar juga penunggang dan pembonceng motosikal.

Katanya, objektif program ini memberi pendedahan kepada pelajar untuk lebih mengutamakan keselamatan jalan raya ketika menunggang motosikal.

“Seperti sedia maklum, ramai pelajar pergi ke sekolah dengan menaiki motosikal dan perkara ini perlu diutamakan demi keselamatan mereka.

“Dengan adanya ceramah keselamatan jalan raya dan teknik penunggang motosikal yang tepat, sedikit sebanyak dapat mengurangkan kadar risiko kemalangan dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau juga berbesar hati di atas kerjasama antara PDRM terutama Pengarah JSPT Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Sharul Othman Mansor kerana telah memilih SMK Tuanku Muhammad sebagai lokasi penganjuran program itu.

“Beliau (Sharul) adalah bekas pelajar di sekolah ini dan terbukti meskipun telah berjaya, tidak lupa akan sekolahnya dan ibarat sirih pulang ke gagang.

“Pujian perlu diberikan kepada beliau kerana masih mengingati sekolah dan jasa guru-guru mendidiknya.

“Kini beliau turun padang berbakti dan menabur ilmu kepada pelajar selain membawa kepakaran dari JSPT untuk tontonan kepada pelajar, guru dan komuniti di sini,” katanya.

Pkharuddin juga berharap lebih ramai bekas pelajar untuk terus berbakti kepada sekolah meskipun telah meninggalkan alam persekolahan demi mencapai kecemerlangan sekolah.

Turut diadakan, pertunjukan motosikal berkuasa tinggi. – SINAR HARIAN ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS