Menu

IPD DAN BALAI POLIS DIPERKASA

Kerajaan akan memperkasakan semua Ibu pejabat Polis Daerah (IPD), balai dan pondok polis seiring dengan keberkesanan kewujudan pasukan elit khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kecemerlangan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) membanteras jenayah banyak dibantu kepakaran IPD, balai serta pondok polis.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pemantapan IPD, balai dan pondok polis penting dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan seiring transformasi tiga pasukan elit pasukan keselamatan berkenaan.

"Kerjasama IPD dan balai-balai polis dengan pasukan elit tersebut menyaksikan indeks jenayah berjaya diturunkan 53 peratus.

"Kerajaan akan memperkukuhkan keupayaan IPD, balai dan pondok polis seiring cabaran semasa kepolisan" katanya ketika berucap merasmikan IPD Bera semalam.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan akan terus memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan bagi memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai.

"Kita tidak mahu negara kita sentiasa terdedah kepada ancaman pencerobohan sempadan, pemerdagangan imigran penjenayah rentas sempadan, penyeludupan senjata api, penyeludupan dadah dan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) menyebabkan soal keselamatan menjadi kegusaran kepada rakyat" katanya.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS