Menu

POLIS NAFI GAJAH MERAYAU DI KAWASAN R&R TITIWANGSA DI GERIK

Gerik, 29 April 2018 - Polis hari ini menafikan kononnya seekor gajah liar merayau-rayau di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa, Jalan Raya Timur Barat yang tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Ismail Che Isa berkata pihaknya hanya menerima laporan daripada pegawai Perhilitan Gerik bahawa seekor gajah liar muncul di tepi pagar belakang surau di kawasan R&R Titiwangsa kira-kira 6 petang Jumaat lepas.

“Kemunculan gajah itu, yang makan pokok palma di situ, hanyalah di tepi pagar belakang surau dan buat seketika sahaja sebelum ia beredar ke dalam hutan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kehadiran gajah liar di kawasan itu dipantau sepenuhnya oleh beberapa pegawai Perhilitan Gerik.

"Orang ramai yang berada di situ cuba menghampiri gajah tersebut untuk merakam gambar tetapi dinasihatkan pegawai Perhilitan supaya tidak berbuat demikian kerana bimbang ia terkejut dan boleh mendatangkan bahaya,”katanya.

Sehubungan itu, Ismail meminta orang ramai supaya mendapatkan pengesahan berita daripada pihak tertentu terlebih dahulu sebelum menyebarkannya di media massa.

Kesalahan menyebar berita tidak benar boleh disabitkan mengikut undang-undang baharu iaitu Akta Antiberita Tidak Benar 2018, katanya. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS